free glitter text and family website at FamilyLobby.com

Jumaat, 31 Disember 2010

*mawaddah 4*:KeHiDupan Roh Insan

KehidupAn




Roh Insan yang sangat suci hanya menyata apabila ia dibaluti oleh jasad dan bakatnya hanya menonjol apabila ia ditempatkan di dalam dunia. Ketika Adam a.s mendiami syurga bakat kekhalifahannya tidak menyata. Setelah dimasukkan ke dalam dunia baharulah nyata Adam a.s sebagai khalifah Tuhan. Keturunan Adam a.s juga menanggung kewajipan kekhalifahan itu di dalam dunia ini juga. Di dalam dunia yang sangat luas ini Adam a.s dan keturunannya ditempatkan pada satu tempat yang bernama bumi. Kehidupan di dunia dengan kehidupan di bumi adalah perkara yang sama bagi Adam a.s dan keturunannya. Kehidupan dunia ini adalah satu-satunya peluang untuk manusia. Manusia tidak diberi peluang yang kedua kali.

Dan barangsiapa yang buta di sini, maka di akhirat pun dia buta dan lebih sesatlah jalannya.
( Ayat 72 : Surah al-Isra’ )
Bukan buta mata di kepala tetapi buta mata pada hati. Jika ketika hidup di dalam dunia tidak menemui jalan kembali kepada Tuhan, sesudah matinya pun tidak menemui jalan. Kesesatan jalan di akhirat lebih menggerunkan daripada buta mata di dunia. Apa juga yang manusia mahu usahakan maka dunia inilah kebunnya. Kehidupan dalam dunia inilah yang menentukan nasib manusia ketika sakratul maut, dalam alam kubur, di Padang Mahsyar, di Hisab, di atas jambatan menyeberangi neraka dan pada kehidupan yang abadi. Perbezaan di antara dunia dan akhirat hanya satu sahaja, iaitu di akhirat ada peluang untuk melihat Tuhan secara terang-terangan, sementara di dunia melihat Tuhan melalui hijab-hijab. Urusan Islam, iman, tauhid dan makrifat selesai di dalam dunia ini juga. Apa yang diperolehi di dunia ini itulah yang akan dibawa ke akhirat.

Tugas menjadikan dunia sebagai kebun akhirat bukanlah mudah. Suasana semulajadi dunia menjadi cabaran kepada petani-petani akhirat.


Dan tatkala Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Aku hendak menciptakan khalifah pada bumi”, mereka berkata: “Adakah Engkau mahu jadikan padanya makhluk yang akan berbuat bencana padanya dan akan menumpahkan darah? Padahal kami berbakti dengan memuji Engkau dan memuliakan Engkau”. Dia berfirman: “Aku mengetahui apa yang kamu tidak ketahui”. ( Ayat 30 : Surah al-Baqarah )
Para malaikat sudah dapat membayangkan kehidupan dunia yang akan dijalani oleh makhluk berbangsa manusia sebelum lagi manusia pertama diciptakan. Sifat kehidupan dunia yang ada dalam pengetahuan malaikat adalah huruhara dan pertumpahan darah. Dunia adalah ibu, sementara huruhara dan pertumpahan darah adalah anak-anaknya. Kelahiran huruhara dan pertumpahan darah adalah sesuatu yang sesuai dengan suasana dunia itu sendiri secara semulajadi. Manusia sebagai khalifah bertugas membersihkan dunia daripada huruhara dan pertumpahan darah itu. Khalifah tidak seharusnya membiarkan dunia terus melahirkan anak-anak jahat dan nakal.

Tuhan memperjelaskan lagi keadaan huruhara penghidupan dunia:


Tuhan berfirman: “Pergilah kamu (Adam dan Hawa). Sebahagian daripada kamu (manusia) jadi musuh kepada sebahagiannya. Dan adalah bagi kamu di bumi itu tempat ketetapan dan bekalan hingga satu masa (mati dan kiamat)”. ( Ayat 24 : Surah al-A’raaf )

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

BisMillahhirahmanirahim